PETALING JAYA – Majlis Setiausaha Pakatan Harapan yang berlangsung di ibu pejabat PKR hari ini mendesak agar Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Ini susulan daripada beberapa siri kenyataan yang dikeluarkan oleh Pandikar di media baru-baru ini, ia menunjukkan diri beliau ingin kembali ke arena politik semula. Perkara ini menyebabkan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa agar Pandikar meletakkan jawatan sekiranya tidak dapat memberi tumpuan lagi bagi melaksanakan reformasi Parlimen.
Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, “walaupun lantikan speaker dewan lazimnya dicadang oleh pihak parti pemerintah, tetapi speaker perlu mengekalkan kebebasan beliau supaya tidak memihak kepada pihak pemerintah atau pembangkang.
“Sekiranya Tan Sri Pandikar tidak boleh lagi memberikan fokus melaksanakan reformasi Parlimen dan beliau benar-benar ingin kembali aktif berpolitik, maka beliau harus segera meletakkan jawatan dan memberi ruang kepada orang lain untuk memegang jawatan speaker Dewan Rakyat,” tambah katanya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.