
KOTA KINABALU, SABAH – Semua ahli UMNO, termasuk calon yang bertanding dalam pemilihan parti diingatkan agar tidak terpengaruh dengan kumpulan yang mahu menggugat kerajaan semasa.
Memetik sumber Bernama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau juga berharap tidak ada calon dalam pemilihan parti itu yang bertindak menyokong parti lain.
Ahmad Zahid menyatakan harapannya agar semua calon komited untuk memperkasakan UMNO di semua peringkat khususnya di peringkat nasional.
Berucap pada sesi pengenalan calon bertanding pemilihan UMNO di sini, semalam, beliau berkata calon juga diingatkan supaya patuh kepada peraturan pemilihan, kerana setakat ini didapati ada calon yang telah hilang kelayakan sebelum tiba hari pemilihan.
Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan mempunyai hak untuk membatalkan kemenangan, dan ahli UMNO diharap memahami peraturan yang telah ditetapkan.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita Ahmad Zahid berkata, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberikan keabsahan kepada Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang membawa usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.
Beliau berkata, ia adalah kerana Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin telah mengikuti semua peraturan yang termaktub dalam peraturan mesyuarat perhimpunan itu dan usul juga mengikut perlembagaan parti.
“Tugas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) adalah untuk menjaga kepentingan ahli mana-mana badan yang berdaftar dengan RoS, dan kepentingan ahli itu mengikut sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan.
“Maka dalam hal ini kuasa menteri adalah kuasa muktamad untuk menentukan keabsahan Perhimpunan Agung UMNO 2022,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata KDN memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.





