SABAH PERUNTUK RM2 JUTA UNTUK KERJA MENAIK TARAF PUSAT KEBUDAYAAN MURUT: KM...

SABAH PERUNTUK RM2 JUTA UNTUK KERJA MENAIK TARAF PUSAT KEBUDAYAAN MURUT: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima cenderamata daripada ADUN Kemabong merangkap Pengerusi Penganjur Pesta Kalimaran selepas perasmian Pesta Kalimaran ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TENOM, SABAH – Kerajaan negeri telah meluluskan kerja menaik taraf Pusat Kebudayaan Murut Sabah bernilai RM 2 juta bagi meningkatkan lagi tarikan pelancongan daerah terbabit khususnya dari segi produk pelancongan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerja-kerja menaik taraf itu melibatkan tiga komponen utama membabitkan pembinaan Rumah Pokok, replika kubur dan Rumah Tengkorak.

“Projek itu akan menambah lagi tarikan pelancong di Pusat Kebudayaan Murut Sabah dan seterusnya mewakili tradisi dan budaya masyarakat Murut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Kalimaran di Pusat Kebudayaan Murut Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin Alfred, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong merangkap pengerusi penganjur, Datuk Rubin Balang.

Dalam pada itu, Hajiju turut berkata pihaknya memandang kepentingan budaya dan perayaan kesenian pelbagai etnik seperti Pesta Kalimaran.

“Ia akan membantu dalam promosi, pemeliharaan dan peningkatan budaya dan kesenian daripada pelbagai etnik di Sabah,” katanya.

Menurutnya, Pesta Kalimaran berpotensi menjadi perayaan yang mempamerkan kekayaan dan keunikan budaya, kesenian dan tradisi masyarakat Murut kepada seluruh negara.

“Walaupun Sabah sudah terkenal sebagai destinasi eko-pelancongan, pelancongan budaya juga perlu diberi keutamaan.

“Kepelbagaian dan keunikan tradisi, serta seni budaya 35 etnik dan 217 kumpulan sub-etnik di Sabah adalah kekuatan yang boleh dijadikan modal dalam pelancongan budaya kita,” katanya.

Bagi tujuan terbabit, Hajiji berkata kerajaan negeri telah menggariskan tujuh keutamaan iaitu pendigitalan seni budaya atau eBudaya; pelancongan budaya bersepadu; pemeliharaan budaya; mengeratkan hubungan etnik; budaya penyelidikan dan dokumentasi; penyebaran seni budaya; dan perlindungan budaya harta intelek.

Keutamaan ini adalah selaras dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya di bawah bidang kuasa Lembaga Kebudayaan Sabah.