Shahelmey Digantung Keahlian UMNO 6 Tahun – Bung

Shahelmey Digantung Keahlian UMNO 6 Tahun – Bung

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, sah digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Sabtu.

“Dia (Shahelmey) kena gantung enam tahun,” katanya ringkas kepada pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Bahagian UMNO Kinabatangan di sini semalam.

Keputusan itu dipercayai diambil susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada 7 Januari lalu, Bung Moktar mengumumkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, namun Shahelmey bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu kekal menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

LIMA (5) ADUN UMNO-BN yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah pada Januari lalu…

Tindakan Shahelmey turut diikuti oleh empat orang ADUN pada 21 Februari lalu iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) bersama seorang lagi ADUN UMNO iaitu Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung) mengumumkan keluar parti.

Akibat tindakannya itu, Shahelmey dan tiga lagi ADUN UMNO berkenaan iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) serta Datuk James Ratib (Sugut) diberikan surat untuk menghadap Lembaga Disiplin UMNO.

Sementara itu, Shahelmey ketika diminta mengulas mengakui menerima secara terbuka berita penggantungan keahliannya dalam UMNO berdasarkan kenyataan dibuat Ketua UMNO Sabah itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan, bagaimanapun memaklumkan belum menerima makluman atau surat rasmi berhubung perkara itu daripada UMNO Sabah atau kepemimpinan parti di peringkat Pusat.

Namun, beliau berkata bahawa tindakan penggantungan itu sudah dijangka berikutan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan tindakan UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji Januari lalu.

“Belum ada makluman rasmi saya terima dari parti setakat ini. Namun saya memang menjangkakan keputusan sedemikian dan menerimanya dengan berlapang dada…

“Saya harap kenyataan Bung Moktar itu bolehlah dianggap sebagai kenyataan rasmi parti,” katanya.