
KUANTAN, PAHANG – Penumpang sebuah kereta dikhuatiri lemas apabila terjunam ke dalam sungai selepas melanggar mati seorang pejalan kaki dipercayai etnik Rohingya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.47 pagi tadi, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi KM55 Jalan Nenasi-Rompin, sini, manakala Nor Katijah Mamat, 33, hanyut dibawa arus.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin, mangsa wanita itu merupakan isteri kepada pemandu, Mohamad Aizuddin Karim, 27.
“Pasangan itu dalam perjalanan ke Rompin dari Pekan apabila Mohamad Aizuddin hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pejalan kaki sebelum terjunam ke dalam sungai.
“Pemandu kenderaan mengalami kecederaan pada tangan kanannya dan telah dihantar ke Hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa wanita itu dikatakan sempat keluar dari kereta tetapi dihanyutkan arus sungai.
Dalam pada itu, mayat lelaki terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan pasukan penyelamat bagi mengesan mangsa yang hilang.





