YDPA Titahkan Kerajaan Bersiap Sedia Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Sudan

YDPA Titahkan Kerajaan Bersiap Sedia Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Sudan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan kerajaan supaya bersiap sedia membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan secepat mungkin sekiranya keadaan bertambah tegang.

Memetik sumber Bernama, perkara terbabit dinyatakan baginda melalui muat naik di laman media sosial Facebook rasmi Istana Negara hari ini.

Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu.

Baginda turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT agar rakyat Malaysia berada di bawah lingkungan-Nya dan ketegangan di Sudang dapat dihentikan dengan segera.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan 29 rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Sudan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata Wisma Putra mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain.

Menurutnya, ia bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang berada di negara itu terjamin selamat ketika konflik membabitkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF).