
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang pertama bakal berlangsung pada 14 Mei ini.
Selain disertai parti komponen parti Kerajaan Perpaduan, Anwar menyatakan pihaknya turut mengundang Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Memetik sumber Berita Harian, Justeru, pelbagai program dirangka dalam konvensyen berkenaan yang diadakan pada hari terbabit.
“Sebelah paginya, akan ada Konvensyen Wanita dan Konvensyen Pemuda. Konvensyen Wanita akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Konvensyen Pemuda diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof.
“Di sebelah petang pula, ketua-ketua parti akan berucap awal dan kemudian diakhiri oleh ketua parti dan ditutup oleh saya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Datuk Onn, di sini, semalam.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadhillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Mesyuarat juga disertai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden MIC, Tan Sri VA Vigneswaran; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shaife Apdal.
Mengenai agenda konvensyen sulung itu, Anwar berkata, ia untuk memanfaatkan semangat perpaduan demi melancarkan pelaksanaan agenda rakyat.
Tambahnya, ia juga satu percubaan untuk merapatkan kaum dan wilayah seperti yang pernah dilakukan oleh dua bekas Perdana Menteri.
“Tumpuan perbincangan adalah menilai keberkesanan dan meneruskan dengan program lebih berkesan bagi semangat inklusif semua kaum dan semua wilayah dengan tunduk kepada prinsip perlembagaan yang telah disepakati.
“Kemudian, menentukan program Madani dan merakyatkan ekonomi ini supaya dapat berjalan dengan berkesan.
“Jadi mesej kita adalah mesej ke seluruh negara bahawa inilah sesuatu percubaan yang unik dalam sejarah, mengulangi mungkin peringkat awal kemerdekaan pada zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan mungkin percubaan kedua oleh Tun Abdul Razak (Hussein) untuk cuba merapatkan permuafakatan kaum serta wilayah.
“Cubaan kali ini harus dipastikan ia berkesan, berhasil kerana akan menjamin kesinambungan dan kelangsungan. Lebih penting agenda rakyat itu dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan,” katanya.





