KM HAJIJI BENTANG RUU ANTI LOMPAT PARTI DALAM SIDANG DUN SABAH

KM HAJIJI BENTANG RUU ANTI LOMPAT PARTI DALAM SIDANG DUN SABAH

0
SHARE
Hajiji
Hajiji ketika membentang RUU Anti Lompat Parti di sidang DUN Sabah ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Sabah bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Katanya, pihaknya memandang serius akan tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

Mengulas lebih lanjut, antara parameter penggubalan RUU tersebut adalah, peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti ini tidak akan terpakai secara retrospektif.

“ADUN yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi ADUN.

“Keanggotaan ADUN dalam parti gabungan dan penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan ADUN bertukar parti.

“Mana-mana ADUN yang bertukar parti politik atau mana-mana ADUN meninggalkan parti politik untuk menjadi ADUN bebas akan terhenti menjadi ADUN dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memperincikan beberapa pengecualian terhadap larangan ADUN bertukar parti, antaranya ialah, ADUN tidak terhenti menjadi ADUN sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

“Pelepasan keanggotaaan ADUN daripada parti politik apabila dipilih menjadi Speaker DUN tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi ADUN.

“Dalam erti kata yang lain, perkara ini tidak akan menyebabkan Speaker kehilangan kerusinya di DUN.

“Selain itu, pemecatan ADUN daripada keanggotaan dalam parti politik tidak akan menyebabkan kekosongan kerusi ADUN itu,” katanya.

Disamping itu, Hajiji juga menyatakan keyakinannya bahawa RUU terbabit mampu menghentikan tindakan mana-mana ADUN yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah.

Katanya, ia juga bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu untuk jangka masa panjang.

Ketika sesi pembentangan terbabit, beliau berkata RUU terbabit mengandungi sebanyak lima fasal berhubung semua perkara yang dimasukkan dalam pindaan perlembagaan terbabit.