
TAMPARULI, SABAH – Jalinan kerjasama dalam kalangan pemimpin dan ahli parti serta usaha mendekati ahli di peringkat akar umbi penting bagi memastikan Parti Bersatu Sabah kekal relevan di Sabah.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, berkata, adalah penting usaha untuk mendekati ahli di peringkat akar umbi supaya kerjasama di antara pimpinan tertinggi juga sampai ke semua peringkat.
“Tugas kita adalah untuk mendekati akar umbi bagi memastikan kerjasama di antara pemimpin tertinggi dengan ahli di peringkat bahagian sehinggalah cawangan dapat diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.13 Pantai Dalit pada Ahad.
Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Ketua PBS Bahagian Pintasan merangkap AMT PBS Pusat, Muji Ampau, Ketua PBS Bahagian N.11 Sulaman merangkap AMT PBS Pusat, Juin Saman, Timbalan Ketua Bahagian PBS Bahagian N.14 Tamparuli merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.14 Tamparuli, Madin Anak, dan Timbalan Ketua Bahagian PBS Bahagian N.13 Pantai Dalit, Romeo Sindeh.
Katanya, melalui pendekatan sedemikian, rakyat bukan sahaja dapat bertemu dengan pemimpin parti, malah mereka dapat melihat dan menilai sendiri usaha serta ketelusan mereka untuk berkhidmat bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat di kawasan berkenaan.
Menurut Jahid, kekalahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diwakili calon dari parti PBS pada PRU lepas di kawasan Tuaran tidak perlu dijadikan sebagai satu faktor kegagalan dalam perjuangan, melainkan sebagai satu ruang untuk mencari solusi memperkuatkan parti.
“Pilihan raya sudah berlalu, sudah tiba masanya kita bersama-sama muhasabah diri, terus berkhidmat untuk rakyat dan memberi fokus serta melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin,” katanya.
Beliau yang juga Ketua PBS Bahagian N.14 Tamparuli, mengajak semua perwakilan yang hadir untuk menanamkan keyakinan bahawa, walaupun masih baharu, PBS N.13 Pantai Dalit juga mempunyai peranan dan potensi cukup besar untuk diketengahkan demi kekuatan parti kelak.
Katanya, ini kerana PBS terbukti masih mempunyai pengaruh yang kuat di negeri ini dan sokongan rakyat juga tidak pernah berbelah bahagi terhadap parti.
“Jangan sampai Pantai Dalit ketinggalan, teruslah bergerak dan turut mengambil peranan dalam parti,” katanya.
Beliau turut mengajak semua yang hadir untuk berfikir bagaimana mereka dapat memainkan peranan yang lebih kritikal, sama ada sebagai pentadbir, golongan kerajaan mahu pun sebagai ahli demi penambah baikan parti itu di peringkat bahagian dan akar umbi kelak.
Dalam pada itu, Jahid, turut mengajak para anak muda untuk bersama-sama PBS di dalam perjuangan parti dalam menentukan masa depan mereka dan generasi akan datang.
Terdahulu, Timbalan Ketua PBS Bahagian Pantai Dalit, Romeo Sindeh, yang kini memangku jawatan ketua bahagian, berharap agar mereka juga diberi perhatian oleh Wakil Rakyat di kawasan DUN N.13 Pantai Dalit, Datuk Jasnih Dayah, termasuk juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Semoga kami yang menjadi sebahagian daripada penyokong kuat GRS di kawasan ini turut dipandang oleh kedua-dua pemimpin kita ini demi kesinambungan kepimpinan PBS dan GRS di sini,” katanya.





