TOKYO, JEPUN – Terdapat lagi kes positif COVID-19 di temasya sukan Olimpik Tokyo yang melibatkan dua pemain dan seorang staf sokongan pasukan bola sepak lelaki Olimpik Afrika Selatan, demikian menurut kontinjen Afrika Selatan semalam.
Mereka dikenali sebagai Thabiso Monyane dan Kamohelo Mahlatsi iaitu pemain bola sepak manakala seorang lagi penganalisis video, Mario Masha dengan ketiga-tiganya kini menjalani proses pengasingan diri.
“Semua anggota lain dalam pasukan negatif dalam dua kali ujian dan mengikuti semua saranan pihak berkuasa kesihatan tempatan,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan yang dipetik AFP.
Semua anggota delegasi Afrika Selatan diuji setiap hari sejak tiba di Perkampungan Olimpik di ibu negara Jepun itu, kata pasukan berkenaan.
Ahli keempat delegasi Olimpik Afrika Selatan, iaitu jurulatih ragbi, Neil Powell turut positif dan berada di fasiliti pengasingan di bandar Jepun.
Penganjur Olimpik Tokyo, semalam mengatakan dua peserta positif COVID-19 di Perkampungan Olimpik selepas rakan sepasukan turut dijangkiti dan sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kluster itu dengan hanya beberapa hari lagi sebelum upacara pembukaan.