TONGOD, SABAH – Cadangan kerajaan pusat bagi mewujudkan sekolah khas untuk golongan miskin adalah tidak praktikal kerana ia dilihat mewujudkan sistem kasta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, adalah lebih baik kerajaan menaik taraf sekolah usang berbanding sekolah baharu yang menelan belanja yang tinggi.
“Walaupun niat itu baik, ia bukan tidak relevan kerana terdapat ratusan sekolah dan asrama usang khususnya di Sabah dan Sarawak masih menunggu untuk dinaik taraf,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata konsep sekolah khas itu lebih kepada sekolah jenis menengah sains dan berasrama penuh.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata pendekatan itu boleh meninggalkan kesan psikologi buruk kepada pelajar dan ibu bapa terbabit.
“Saya tidak fikir ramai ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah yang dipanggil sekolah untuk pelajar termiskin.
“Mereka seharusnya didedahkan dengan pendekatan pembelajaran yang lebih baik dalam kalangan rakan sebaya tanpa perlu melabelkan pelajar terbabit.
“Ia adalah satu langkah yang tidak rasional bagi kerajaan Madani kerana negara kini sedang menuju ke arah sistem pendidikan inklusif,” katanya.
Menurut Masiung, pelajar yang ditempatkan di sekolah termiskin sudah pasti akan berasa rendah diri dan menerima tekanan emosi apabila bergaul dengan rakan sebaya dari sekolah lain.
“Banyak lagi cara Kementerian Pendidikan Malaysia boleh membantu pelajar miskin. Antaranya menyediakan bas sekolah khas dan menambah bangunan asrama selain bantuan keperluan sekolah seperti beg dan pakaian seragam.
“Dasar dalam membantu pelajar miskin perlu dirancang mengikut keperluan sesebuah negeri dan wilayah,” katanya.





