TAWAU, SABAH – Seorang juragan bersama 12 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau kerana dipercayai cuba memasuki perairan negara dengan menggunakan sebuah bot penumpang berhampiran Jeti CIQ sini pada pukul 10.30 pagi kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, aset bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur , Ops Sejahtera dan Ops Tiris di sektor operasi telah mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Sebatik menuju masuk ke Perairan Tawau.
“Semasa penahanan bot penumpang terbabit, secara tiba-tiba juragan bot telah bertindak nekad terjun ke laut bagi melepaskan diri daripada ditahan.
“Namun tindak balas pantas anggota Maritim Malaysia telah berjaya menahan semula juragan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, didapati juragan terbabit merupakan seorang lelaki warga Indonesia berumur 32 tahun.
“Manakala 12 orang lelaki masing-masing berumur awal 18 hingga 61 tahun juga dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Shahrizan berkata kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta cuba memasuki negara melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan barangan peribadi disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,000,” tambahnya.






