Tolak Ansur, Raikan Kepelbagaian dan Perbezaan – TYT Sabah

Tolak Ansur, Raikan Kepelbagaian dan Perbezaan – TYT Sabah

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (kiri) ketika menyampaikan perutusan sempena ulang tahun kelahiran rasmi Ke-70 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Semua lapisan masyarakat di negeri ini perlu bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian dan perbezaan.

Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sikap saling hormat-menghormati dan bersatu-padu dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama adalah merupakan salah satu faktor yang dapat menyatukan negara.

“Semua lapisan masyarakat perlu bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian dan perbezaan sebagai suatu kelebihan serta sentiasa berwaspada terhadap sensitiviti agama dan budaya pelbagai kaum.

“Saya berharap agar kita semua bersama-sama menjaga nilai-nilai ini untuk mempertahankan negeri ini agar terus harmoni dan kukuh.

“Negeri Sabah sendiri adalah contoh nyata perpaduan dalam kepelbagaian apabila Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia diraikan penuh gilang-gemilang dengan menyaksikan pelbagai kaum dan peringkat usia menzahirkan semangat dan rasa cinta akan tanah air.

Adalah menjadi hasrat saya agar negeri ini terus mengekalkan keamanan dan keharmonian rakyat dapat hidup selesa dan bertambah makmur serta berusaha lebih gigih dalam membangunkan negeri ini,” ujar beliau dalam Perutusan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 di Istana Seri Kinabalu, semalam.

Dalam perutusannya juga, Tun Juhar turut menggesa masyarakat agar melestarikan budaya integriti dalam kepimpinan pentadbiran dan perkhidmatan.

“Budaya integriti yang diamalkan secara berterusan mampu menjamin negeri ini diurustadbir dengan penuh tanggungjawab dan baik.

“Ini kerana amanah dan tanggungjawab yang berpaksikan kepada integriti dapat meningkatkan keyakinan rakyat, komuniti perniagaan, pelabur-pelabur tempatan dan luar negeri terutama terhadap kepimpinan pentadbiran kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati pembangunan yang dijanjikan,” jelas beliau.

Di samping itu, Tun Juhar turut menyarankan agar rakyat terutamanya golongan belia agar sentiasa bersedia untuk meneroka dan mampu beradaptasi dengan mempelajari kemahiran baharu, terbuka minda kepada perubahan serta celik digital agar kekal relevan dalam perkembangan pantas dunia digital hari ini.

Tun Juhar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat kepimpinan, baik di peringkat Negeri mahupun di peringkat Persekutuan serta seluruh rakyat atas ucapan tahniah dan doa sempena ulang tahun kelahiran rasminya pada hari ini.

Penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, agensi-agensi penguatkuasa, sektor swasta dan semua pihak atas dedikasi dan sumbangan kepada kesejahteraan dan keamanan negeri ini

Hadir sama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan isteri Datin Seri Julia Salag, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, jemaah kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Juhar
Tun Juhar (kiri) ketika menyampaikan perutusan sempena ulang tahun kelahiran rasmi Ke-70 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )