KOTA KINABALU, SABAH – Prestasi kutipan zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 meningkat 11 peratus dengan jumlah RM132.68 juta berbanding RM119.5 juta pada tahun 2021.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang telah mempengerusikan Mesyuarat Penutup Pengauditan Penyata Kewangan di sebuah hotel sini pada Isnin mengucapkan tahniah kepada MUIS atas trend peningkatan itu.
Menurutnya, sejumlah RM120.51 juta (90.8 peratus) daripada jumlah kutipan tahun 2022 telah diagihkan kepada penerima zakat dengan penerima terbesar adalah Hak Fakir iaitu berjumlah RM53.55 juta (44.4 peratus).
Beliau turut menyarankan MUIS meningkatkan tata kelola pengurusan kewangannya selaras dengan peraturan kewangan mengikut hukum syarak bagi meningkatkan keyakinan pembayar zakat negeri Sabah.
Wan Suraya juga merakamkan penghargaan atas kehadiran Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Datuk Mohd Arif dalam mesyuarat tersebut sebagai pengerusi bersama.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas), Datuk Sapdin Ibrahim, Timbalan Yang Di-Pertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji.






