Tuaran Lebih Sesuai Dijadikan Tapak Lapangan Terbang Baharu – Paul

Tuaran Lebih Sesuai Dijadikan Tapak Lapangan Terbang Baharu – Paul

0
SHARE
Paul
Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Tuaran, Datuk Paul Yong ( Sumber Foto: Ihsan Dewan Perniagaan Cina Tuaran )

KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Tuaran, Datuk Paul Yong, berpendapat bahawa Tuaran lebih sesuai dijadikan sebagai tapak Lapangan Terbang Antarabangsa yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Tuaran berkata Tuaran, dengan lokasi pusatnya yang dikelilingi oleh daerah-daerah utama seperti Kota Belud, Kudat, Ranau dan bandar Kota Kinabalu merupakan pintu masuk yang ideal untuk pelancong antarabangsa.

“Tuaran disambung oleh dua jalan utama iaitu Tuaran Bypass dan Sulaman Bypass melalui KKIP dan juga mempunyai hotel lima bintang, perumahan dan pembangunan komersial.

“Dengan siapnya Lebuhraya Pan Borneo, perjalanan antara Kota Kinabalu dan Tuaran akan menjadi sangat lancar.

“Kesesakan lalu lintas akan dikurangkan dan oleh itu, ia memendekkan masa perjalanan. Ia adalah satu kelebihan bagi pelancong yang tiba dan berlepas dari Sabah berbanding dengan Kimanis.

“Lebih-lebih lagi, Tuaran lebih dekat dengan tempat-tempat pelancongan di sekitar kawasan ini seperti Gunung Kinabalu dan hujung Borneo di Kudat,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Katanya, cadangan memperluaskan Pan Borneo ke Kudat akan membuka lebih banyak kawasan pembangunan di sebelah utara termasuk di Kota Belud dan Taman Perindustrian Kudat, sekali gus membangunkan bahagian Utara Sabah yang selaras dengan konsep Sabah Maju Jaya.

“Dengan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sekarang, sudah tiba masanya dan peluang terbaik untuk memilih Tuaran yang merupakan tanah kelahiran beliau sebagai tapak ganti baharu bagi Lapangan Terbang Antarabangsa baharu.

“Pembiayaan projek itu boleh diterajui oleh Kerajaan Negeri dengan mendapatkan pelabur bersama daripada sektor swasta tanpa melibatkan dana Persekutuan.

“Pengumuman oleh Perdana Menteri baru-baru ini untuk kelulusan terminal kedua adalah langkah jangka pendek dan apa yang kerajaan negeri Sabah mahukan ialah perancangan jangka panjang.

“Lapangan terbang sedia ada menghadapi kekurangan tanah untuk pengembangan selanjutnya bagi menampung peningkatan kemasukan pelancong antarabangsa dan tempatan,” jelasnya sambil menambah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kini tidak mampu beroperasi dengan cekap.

Katanya, sebagai penduduk tempatan Tuaran, Dewan Perniagaan Cina Tuaran akan memberikan sokongan penuh untuk memilih Tuaran sebagai Destinasi Lapangan Terbang Antarabangsa yang baharu.