
KUALA LUMPUR – Suasana terminal satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bertukar menjadi seolah-olah sebuah ‘hospital’ apabila seorang penumpang melahirkan bayinya di balai menunggu, baru-baru ini.
Memetik sumber Berita Harian, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) melalui hantarannya di Facebook memaklumkan, pasukan Aviation Security (AVSEC) dan Pengurusan Pengalaman Pelanggan (CEM) bertindak pantas dengan membantu wanita terbabit ketika kejadian.
Menurut MAHB, pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Medilife Paramedic turut dipanggil untuk memberi rawatan dan pemeriksaan selanjutnya.
“Ibu dan anak comel itu kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan dan pemantauan yang lebih rapi.
“Syabas kepada AVSEC, CEM, Jabatan Perkhidmatan Terminal KKM, Medilife Paramedic dan lain-lain atas tindakan pantas dan efisyen,” tulisnya.





