KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya bagi musim banjir, sepanjang pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, yang diteruskan seperti dirancang, bermula 8 Januari ini.
Memetik sumber Berita Harian, menurut KPM, persediaan itu termasuklah menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain berkaitan bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan SPM 2023 yang akan diadakan hingga 7 Mac ini.
Katanya, secara keseluruhan, seramai 395,870 orang calon sudah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2023 berlangsung.
“Semua calon peperiksaan SPM 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran, disebabkan bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Menurut KPM, peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu; 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis).
Katanya, seramai 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPM 2023 supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya.
Menurut KPM, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Katanya, calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2023.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“KPM juga mendoakan supaya semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” katanya.





