Co-Opbank Pertama Cawangan Papar Mula Beroperasi

Co-Opbank Pertama Cawangan Papar Mula Beroperasi

0
SHARE
Ewon
Ewon (dua dari kiri) memotong reben pintu utama Co-Opbank Pertama Cawangan Papar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Papar: Masyarakat di daerah Papar kini menikmati satu lagi kemudahan perbankan apabila Co-Opbank Pertama (CBP) memulakan operasinya, semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pembukaan bank tersebut membawa mesej untuk membudayakan koperasi di setiap lapisan masyarakat sebagai gaya hidup dalam usaha menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi,

“Ini merupakan cawangan keempat di Sabah dan saya harap dengan adanya fasiliti ini dapat menyediakan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat Papar dan daerah di sekitarnya.

“Langkah ini juga untuk kita membudayakan gerakan koperasi menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat kita.

“Kita jemput khususnya semua di daerah Papar untuk menjadi anggota kepada Co-Opbank Pertama yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pelanggan dividen.

“Kita ingin melihat Co-Opbank Pertama secemerlang bukan hanya setakat cawangan keempat di Sabah tetapi juga mudah-mudahan cawangan baharu lagi pada masa akan datang dan juga cawangan2 lain di seluruh negara,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Ewon mendedahkan Bank Bergerak CBP yang diperkenalkan buat pertama kali di Sabah sebagai permulaan untuk pembukaan cawangan yang seterusnya khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

“Ada dua lagi Segamat dan juga Terengganu, untuk Sabah ketika ini satu Bank Bergerak ditempatkan di Papar sebagai satu Pejabat Wilayah Sabah dan mudah-mudahan Bank Bergerak Co-Opbank Pertama ini akan menjadi permulaan untuk pembukaan cawangan yang seterusnya.

“Ini kerana kita faham intitusi perbankan ini juga mempunyai tatakelolanya sendiri yang juga akan membuat penyiasatan terlebih dahulu sama ada mereka boleh membuka cawangan baharu.

“Tetapi secara peribadi saya telah menjemput C0-Opbank Pertama untuk melihat kemungkinan cawangan baru di sebelah pendalaman Keningau yang juga merupakan satu daerah dan pekan yan besar di Sabah.

“Saya juga percaya mereka juga akan meneliti cadangan tersebut tapi itu saya pulangkan sepenuhnya kepada Co-Opbank tetapi asasnya haruslah dari rakyat Sabah itu sendiri dengan menjadi ahli Co-Opbank Pertama.

“Semakin banyak keanggotaan Co-Opbank di Sabah maka sudah tentu mudah untuk mereka mewujudkan lebih banyak cawangan bank di Sabah,” jelasnya kepada media selepas merasmikan Co-Opbank Pertama Cawangan Papar di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, sempena majlis terbabit, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Co-opBank Pertama (CBP) turut menganjurkan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP).

“Program ini merupakan satu platform untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan gerakan koperasi kepada orang awam.

“KUSKOP berharap mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan setiap lapisan masyarakat dapat diperkukuhkan dan menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dalam menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi,“ katanya.

Menurut beliau, KUSKOP sebelum ini telah melaksanakan beberapa Program MASKOP dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

“Pada kali ini, MASKOP dilaksanakan secara bersama dengan CBP untuk mengetengahkan CBP sebagai salah satu koperasi premier. Antara pengisian menarik ialah sesi libat urus daripada SKM dan IKMa bagi menerangkan fungsi dan peranan masing-masing dalam membangunkan sektor koperasi,“ katanya.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali itu turut mengadakan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas harian seiring dengan elemen “Kesejahteraan” Malaysia MADANI.

Ewon berharap, penggemblengan tenaga dan usaha agensi-agensi kerajaan, koperasi dan usahawan yang terlibat dalam program ini akan mencapai satu matlamat yang sama dalam menjayakan visi KUSKOP iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul yang bersatu, makmur dan bermaruah. — JABATAN PENERANGAN SABAH