Pukul Rakan Sekampung Hingga Mati Angkara Dendam Lama Di Kota Belud

Pukul Rakan Sekampung Hingga Mati Angkara Dendam Lama Di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD, SABAH – Polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyembunyikan dirinya di Kampung Gaur Podos sini, selepas memukul rakan sekampungnya sehingga mati semalam.

Orang awam melaporkan pergaduhan di tepi jalan berhadapan sebuah rumah kepada pihak polis pada jam 2.13 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata mangsa lelaki berusia 48 tahun ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira jam 3.30 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya.

Shahrudin berkata suspek ditahan pada jam 9.55 malam hari yang sama selepas cuba melarikan diri dan bersembunyi di sebuah kawasan kebun kampung tersebut.

“Suspek berjaya diberkas di rumah keluarganya ketika mendapatkan bekalan makanan.

“Pergaduhan antara mangsa dan suspek dipercayai akibat perselisihan faham yang telah lama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.