
TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan kerana gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa pada pukul 3.40 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, melalui maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS berjaya memintas bot kargo tersebut yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bertindak selaku juragan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati muatan 500 kilogram beras tempatan, 500 kilogram beras siam, 48 kilogram gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol anggaran 120 liter.
“Juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Shahrizan berkata bot kargo bersama juragan tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras-Akta 522.
Nilai rampasan termasuk muatan, bot tersebut dianggarkan sekitar RM55,000.
Ujar Shahrizan lagi, pihaknya juga akan menjalankan siasatan cubaan menyeludup ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.
“Pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi,” tambahnya.





