Akim, Stacy, Amir Jahari, Faizal Hiburkan Pengunjung Hari Malaysia Isnin Ini

Akim, Stacy, Amir Jahari, Faizal Hiburkan Pengunjung Hari Malaysia Isnin Ini

0
SHARE
Christina
Christina ketika sidang media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa artis jemputan khas antaranya Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir bakal menghiburkan pengunjung Sambutan Hari Malaysia 2024, Isnin ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pihanya juga menganggarkan 30,000 pengunjung bakal membanjiri Padang Merdeka.

“Antara pengisian sambutan adalah Upacara Pecah Bendera Tuan Yang Terutama oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tarian Sambut Tamu Heart of Sabah, Upacara Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024, Upacara Memotong Kek Hari Malaysia dan Upacara Serah Jalur Gemilang.

“Acara kemuncak sambutan tahun ini adalah persembahan istimewa bertajuk ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’ .

“Persembahan ini akan menampilkan pelbagai aspek kejayaan Malaysia yang mencerminkan keteguhan perpaduan, dinamik kemajuan, dan transformasi negara yang dipecahkan kepada lima segmen iaitu Negaraku, Perpaduan, Dinamik Kemajuan, Transformasi Negara dan Jiwa Merdeka.

“Selain itu, beberapa artis jemputan khas juga akan tampil menghiburkan pengunjung antaranya Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir,” ujar beliau.

Christina turut memaklumkan selain sambutan utama pada 16 September, pelbagai program lain telah disusun sempena sambutan berkenaan.

“Bagi memberkati sambutan Hari Malaysia tahun ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada hari ini (Jumaat) di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang sebelum Solat Jumaat.

“Penganut agama lain juga digalakkan untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara mengikut kepercayaan masing-masing.

“Selain itu, antara aktiviti menarik termasuklah pameran, bazar jualan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mencari harta karun di Arkib Negeri dan Balai Seni Lukis, Night At The Archives, pertandingan e-sport, kuiz kenegaraan dan pertandingan melukis berkonsepkan tema ‘Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka’,” katanya semasa Sidang Akhbar Sambutan Hari Malaysia 2024 di sini, pada Jumaat.

Justeru, Christina menjemput orang ramai untuk hadir dan memeriahkan sambutan berkenaan sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme.

“Saya dengan penuh rasa bangga mengajak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Sabah, untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan ini.

“Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar perayaan, ia adalah pengiktirafan terhadap identiti dan jati diri kita sebagai bangsa yang berbilang kaum tetapi bersatu hati,” tambahnya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS), Josie Lai dan Timbalan SUT II KEPKAS, Alesia Sion. — JABATAN PENERANGAN SABAH