KOTA KINABALU: Kenyataan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr. Jeffrey G Kitingan dalam ucapan beliau pada Pelancaran Pemuda GRS baru-baru ini merupakan satu seruang signifikan mencerminkan aspirasi autonomi dan hak Sabah.
Pengarah Komunikasi Parti STAR Sabah, Datuk Jalumin Bayogoh berkata, apa yang dikatakan Jeffrey mengenai keperluan Sabah untuk menjaga urusan sendiri dan tidak membiarkan parti dari luar negeri ‘menjajah’ merupakan aspirasi perjuangan beliau yang konsisten sejak sekian lama seperti yang termaktub dalam perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pandangan beliau menunjukkan keprihatinan terhadap pengaruh politik dari luar yang mungkin tidak sepenuhnya memahami realiti dan keperluan unik rakyat Sabah.
“Jika kita imbas cara Dr. Jeffrey menyuarakan aspirasi perjuangannya, tidak ada yang pelik dengan ucapan beliau. Malah, di Dewan Parlimen sekalipun, beliau menyuarakan kepentingan kerajaan menghormati hak-hak rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan mempertahankan Presiden parti itu.
Tambah Jalumin, ketika STAR Sabah yang diketuai oleh beliau masih berstatus pembangkang, Dr. Jeffrey selalu turun padang, berpanas dan berhujan bersama rakyat menyuarakan hak-hak Sabah yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan namun selalu ditangguhkan.
“Bagi penyokong Dr. Jeffrey yang sudah bersama beliau, kelantangan dan keberanian Dr. Jeffrey menyuarakan ketegasan menjaga Sabah adalah satu kelegaan kerana ternyata perjuangan beliau masih teguh dan tidak berubah setelah mempunyai jawatan dalam kerajaan.
“Bagi rakyat Sabah pula, pendekatan Dr. Jeffrey dilihat sebagai satu usaha untuk memperkasakan politik tempatan, memastikan bahawa dasar dan keputusan dibuat berdasarkan keutamaan rakyat Sabah dan bukannya ditentukan oleh kepentingan luar,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, kritikan dari pemimpin UMNO terhadap pendirian ini mungkin muncul dari segi praktikaliti dalam konteks politik negara yang bersifat Persekutuan.
“Atau mungkin juga, kritikan ini bersifat “mahu jadi hero” dengan mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri kerana berani mengkritik Dr. Jeffrey.
“Sedangkan, pada dasarnya, seruan Dr. Jeffrey mencerminkan sentimen ramai rakyat Sabah yang ingin melihat negeri Sabah bebas daripada pengaruh luar yang berlebihan, dan fokus pada pembangunan yang berpandukan suara tempatan,” tegasnya.






