Remaja Curi Tabung Surau Ditahan Reman Empat Hari

Remaja Curi Tabung Surau Ditahan Reman Empat Hari

0
SHARE
Gambar Hiasan

BEAUFORT: Seorang remaja lelaki ditahan reman selama empat hari bermula hari ini kerana disyaki mencuri tabung surau di Kolej Vokasional, di sini, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, tangkapan ke atas suspek remaja yang berumur 18 tahun itu telah dibuat oleh sepasukan polis ketika sedang melakukan Rondaan Cegah Jenayah bertempat di kawasan sekitar surau berkenaan pada hari sama kejadian.

Katanya, dalam kejadian pada jam 9.01 malam, pengadu yang merupakan seorang guru di kolej tersebut menerima notifikasi dari Aplikasi kamera litar tertutup (CCTV) dan kelihatan seorang lelaki sedang mengumpil tabung yang terletak di hadapan pintu masuk surau tersebut. 

“Pengadu menghubungi pengawal keselamatan yang bertugas untuk tindakan awal dan berjaya menangkap suspek. Anggota Ronda Cegah Jenayah IPD Beaufort kemudian diarahkan untuk bergegas ke tempat kejadian.

“Suspek seterusnya ditangkap dan berdasarkan pemeriksaan, didalam beg suspek telah dijumoai wang tunai pelbagai nilai berjumlah RM228.20.

“Turut dirampas, tabung surau dan alat yang digunakan oleh suspek untuk mengumpil tabung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini 12 Feb sehingga 15 Feb 2024 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.