Enam Penagih Antara 25 Ditahan Maritim Malaysia, Rampas 3,400 Liter Petrol Di...

Enam Penagih Antara 25 Ditahan Maritim Malaysia, Rampas 3,400 Liter Petrol Di Kudat

0
SHARE
Maritim
Antara individu ditahan dalam Operasi Bersepadu melibatkan Maritim Malaysia Zon Kudat pada Rabu lalu ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

KUDAT, SABAH – Enam individu didapati positif dadah antara 25 ditahan dalam operasi bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat bersama tiga agensi sahabat pada Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi berkenaan telah dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berdasarkan maklumat perisikan yang telah diperolehi sebelum ini.

Katanya, pada sekitar pukul 8.00 pagi, pegawai dan anggota dari semua agensi yang terlibat telah diatur gerak ke kawasan persekitaran Jeti Nelayan Kudat dan pemeriksaan telah dilakukan oleh pasukan serbuan dari darat.

“Sementara itu, tiga aset ronda Zon Maritim Kudat turut diatur gerak bagi melakukan pengawasan serta pemantauan dan seterusnya membuat pemeriksaan di kawasan perairan berhampiran.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat beberapa individu yang bertindak terjun ke laut dan bersembunyi di antara ruang sempit bot-bot nelayan bagi mengelak daripada diperiksa.

“Walau bagaimanapun, dengan kehadiran anggota yang ramai serta bantuan pengawasan dan pemantauan aset ronda di laut, individu-individu gagal melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 25 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Mereka termasuk dua warga tempatan yang didapati positif dadah jenis syabu melalui saringan urin oleh pihak AADK.

“Kesemua suspek ditahan seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah sewaktu diperiksa dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 kerana disyaki penagih Dadah,” jelas Maurice.

Sementara itu, cubaan menyeludup minyak petrol ke Filipina di Tanjung Layag-layag, Pitas, sini turut dipatahkan Maritim Malaysia Zon Kudat semalam.

Maurice berkata, bertindak berdasarkan maklumat awam, aset ronda Zon Maritim Kudat yang pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan OP PLUTO TIMUR / OP TIRIS segera diatur gerak ke lokasi terbabit.

Setibanya di lokasi, anggota Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa cuba merapat, tiba-tiba bot berkenaan memecut laju menuju kawasan cetek berhampiran dan pengendali bot terbabit dipercayai terjun daripada bot dan telah melarikan di kawasan hutan paya bakau berdekatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 17 tong biru berisi minyak petrol diatas pam bot berkenaan yang dianggarkan lebih kurang 3,400 liter,” katanya.

Bot serta barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM20 ribu itu dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya untuk siasatan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam kejadian lain, Maritim Malaysia, Zon Maritim Kudat turut berjaya menahan sebuah kapal kargo jenis Landing Craft di Lok Bon, Pitas pada hari yang sama.

“Tangkapan berkenaan dibuat hasil pengesanan daripada SWASLA Sabah berpandukan aduan daripada Jabatan Laut Lahad Datu menyatakan kapal berkenaan telah meninggalkan lokasi tempat bersauh tanpa kebenaran.

“Semasa diperiksa mendapati, empat individu warga tempatan yang mengendalikan kapal berkenaan berumur lingkungan 20 hingga 52 tahun,” tambahnya.

Kapal terbabit turut ditahan atas kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 65, Ops 1952 (Port Clearance) kerana telah keluar belayar dari Lahad Datu tanpa memohon izin untuk belayar, Seksyen 300 (1) Sending Unseaworth Ship to Sea An Offence, Ops 1952 kerana didapati tidak memperbaharui sijil statutori kapal, peralatan keselamatan kapal dan peralatan melawan kebakaran tidak berada dalam keadaan baik serta tamat tempoh dan Seksyen 22 (2A), Certificate Of Registry kerana disyaki tidak memaklumkan penukaran nakhoda kepada pendaftar kapal.