Ketua Penerangan BERSATU Macam ‘Tin Kosong’ – Razeef

Ketua Penerangan BERSATU Macam ‘Tin Kosong’ – Razeef

0
SHARE
Razeef Rakimin...

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dilihat tidak ubah seperti `tin kosong’ apabila gagal memberikan sebarang hujah dalam membela dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, terhadap keputusan mahkamah berkait enakmen syariah Kelantan pada Jumaat lalu.

Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata sebaliknya EXCO Terengganu itu hanya mampu bertindak memarahi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang menegur Presiden BERSATU itu kerana menyebarkan berita tidak benar dalam isu berkenaan.

“Razali juga melabel Fahmi sebagai Menteri ‘setahun jagung’ selain memuji tinggi Muhyiddin dengan mengatakan bekas Perdana Menteri itu ialah mantan Perdana Menteri, mantan Timbalan Perdana Menteri dan mantan Menteri Besar serta beberapa portfolio menteri Kabinet serta memuji Muhyiddin sebagai seorang yang sangat dihormati, berprinsip, integriti, benar dan berani.

“Namun dalam kenyataan Razali, beliau tidak memberi sebarang hujah bahawa apa yang dinyatakan Muhyiddin sebagai benar bagi menepis teguran Fahmi sebaliknya hanya memarahi Fahmi dan memuji Muhyiddin.

“Saya berpandangan Razali hanya umpama ‘tin kosong’ yang terus dipelihara oleh Muhyiddin,” katanya melalui satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Susulan keputusan itu, Muhyiddin kemudiannya mendakwa beberapa perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam tidak lagi menjadi kesalahan di Kelantan.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai kemudiannya menegur bekas Perdana Menteri itu kerana menyebarkan berita palsu.

Dalam mempertahankan tindakan Muhyiddin, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menempelak Fahmi dengan menuduh Ketua Penerangan PKR itu sebagai celupar.

Pada masa sama, Razeef berkata, dakwaan Muhyiddin sememangnya suatu fitnah kerana undang-undang Persekutuan memperuntukkan hukuman yang jauh lebih berat berbanding hukuman syariah Kelantan.

Atas dasar itu katanya, beliau mencabar Razali untuk mengulangi kenyataan Muhyiddin bahawa menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.

“Mungkin beliau terpaksa bersuara selepas beberapa desakan dari akar umbi dan ‘cybertrooper’ Perikatan Nasional (PN) sendiri untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan BERSATU.

“Jangan hanya tahu berbunyi seperti tin kosong hanya untuk menyelamatkan tengkuk sendiri,” katanya.