PERMATANG PAUH – Selepas beberapa kali perniagaan menjunam akibat diserbu pihak berkuasa, suami isteri dicekup sekali lagi kerana menjalankan kegiatan menyalin cakera video digital (DVD) secara haram di pekan Permatang Pauh, petang ini.
Memetik laporan Harian Metro, suami isteri berusia 62 dan 66 tahun itu dibantu anak lelaki berusia 38 tahun menjalankan kegiatan haram itu sejak 20 tahun lalu.
Mereka turut dibantu seorang pekerja lelaki berusia 36 tahun yang turut dicekup dalam operasi pada 3.45 petang.
Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang Mohd Nasir Mohamad berkata, tiga beranak berkenaan dan pekerja mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat menyalin DVD selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Katanya, ada dua mesin penyalin dalam rumah berkenaan dengan sebuah mesin mampu menghasilkan 20 keping DVD setiap tiga minit.
“Siasatan mendapati pasangan berkenaan sudah menjalankan kegiatan menyalin dan menjual DVD cetak rompak sejak 20 tahun lalu.
“Perniagaan mereka merosot teruk, namun cuba bangkit kembali kerana tidak mempunyai perniagaan lain,” katanya.
Selain rumah dijadikan pusat menyalin DVD, pasangan itu turut mempunyai kedai menjual bahan itu di pekan ini, namun sudah ditutup kerana diserbu beberapa kali sebelum ini.
Mohd Nasir berkata, selain menjual sendiri, pasangan berkenaan turut membekalkan DVD kepada peniaga lain.
Katanya, sebanyak 20,000 keping DVD bernilai RM100,000 dirampas selain dua mesin penyalin.
“Kes disiasat mengikut Peraturan Label Cakera Optik 2010 dan Perkara 4 (4)(a) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.
“Mengikut APD, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali,” katanya.





