KOTA MARUDU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat diminta tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar kawasan daerah ini.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Marudu, Sazalye Donol berkata, penglibatan golongan itu mampu membantu mengatasi masalah yang dihadapi mangsa banjir yang terlibat.
Katanya, bantuan ini merangkumi termasuk kepeluan harian merangkumi bekalan air bersih, berbentuk makanan serta kewangan yang merupakan keperluan utama mangsa terjejas banjir.
“Setakat ini kerajaan negeri sudah menghulurkan bantuan menerusi Pejabat Daerah Kota Marudu untuk diselaraskan kepada penerima.
“Oleh itu, saya merayu agar NGO dan syarikat korporat bersama-sama menghulurkan bantuan keperluan asas khususunya kepada mangsa yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Perpindahan Sementara (PPS) SMK Bandau, Dewan SA Advent Goshen, SK Ranau serta SMK Bengkongan, di sini, semalam.
Sazalye yang juga Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah berkata, pada hari ini beliau berkesempatan menyalurkan bantuan serta sumbangan berbentuk makanan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan.
“Kita mengharapkan agar keadaan banjir akan reda manakala mangsa banjir ini boleh segera balik ke rumah masing-masing.
“Secara peribadi saya sangat terharu dengan komitmen petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan tugas sangat baik membantu mangsa di PPS ini,” jelasnya.






