Diskriminasi Agama Tiada Tempat Dalam Reformasi Mahkamah Anak Negeri

Diskriminasi Agama Tiada Tempat Dalam Reformasi Mahkamah Anak Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua pemimpin Anak Negeri Sabah menolak cadangan yang bersifat diskriminatif oleh Daniel John Jambun, yang mencadangkan agar hanya Anak Negeri bukan Muslim mentadbir Mahkamah Anak Negeri.

Datuk William Majinbon dan Isaiah Majinbon menegaskan bahawa reformasi Mahkamah Anak Negeri harus bersifat inklusif, berasaskan merit, dan tidak dipengaruhi oleh latar belakang agama.

“Anak Negeri Sabah merangkumi pelbagai agama termasuk Muslim. Penglibatan pegawai Muslim dalam Mahkamah Anak Negeri tidak wajar dipersoal,” kata Isaiah.

Beliau menyifatkan kenyataan Daniel sebagai retorik yang memecahbelahkan.

Mereka turut menjelaskan bahawa Mahkamah Anak Negeri berperanan menegakkan keadilan berasaskan adat tanpa mengira agama, berbeza dengan Mahkamah Syariah yang eksklusif kepada umat Islam.

Datuk William menambah bahawa ramai tokoh Anak Negeri Muslim telah lama memainkan peranan penting dalam institusi itu. Reformasi pula sudah berjalan di bawah Jawatankuasa Reformasi Kehakiman Mahkamah Anak Negeri di bawah MHEANS.

“Reformasi ini harus menyatukan, bukan memecahbelah. Kita mesti terus mencerminkan nilai bersama masyarakat Anak Negeri Sabah,” tegas mereka.