Bekalan Air ke UMS Mencukupi, JANS Tegaskan Isu Bukan Berpunca Daripada Tangki...

Bekalan Air ke UMS Mencukupi, JANS Tegaskan Isu Bukan Berpunca Daripada Tangki Pembekal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini menegaskan bahawa bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah mencukupi dan tidak mengalami sebarang gangguan daripada pihak pembekal.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, JANS menjelaskan bahawa Tangki R13 yang menyalurkan air ke UMS berada dalam keadaan baik dan tidak pernah kosong mahupun berada di bawah paras minimum yang boleh mengganggu proses pengepaman air oleh pihak universiti.

Menurut JANS, keperluan air harian UMS hanyalah sekitar 5 juta liter sehari (MLD), manakala kapasiti air yang dibekalkan dari Tangki R13 adalah melebihi jumlah tersebut.

“JANS menasihatkan UMS untuk meningkatkan operasi pengepaman air bagi memastikan keperluan harian mereka sentiasa mencukupi. Jika kapasiti pam semasa tidak lagi mencukupi, maka UMS perlu mempertimbangkan penggunaan pam berkapasiti tinggi atau lebih efisien,” menurut kenyataan itu.

JANS turut memaklumkan bahawa mereka telah dimaklumkan mengenai inisiatif UMS yang sedang dalam proses membina tangki air baharu serta pemasangan sistem pam yang lebih baik bagi mengatasi masalah bekalan air di kampus.

Dalam kenyataan yang sama, JANS memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus komited dalam memastikan ketelusan, kecekapan teknikal serta penyelesaian bersama UMS secara profesional demi kepentingan pelajar, warga kampus dan masyarakat umum.

Kenyataan ini hadir susulan laporan dan rungutan yang diterima berkaitan gangguan air di kampus UMS sejak beberapa minggu kebelakangan ini.