Penutupan Sebahagian Taman Tun Fuad Stephens Dilanjutkan Sehingga 14 Julai

Penutupan Sebahagian Taman Tun Fuad Stephens Dilanjutkan Sehingga 14 Julai

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penutupan sementara sebahagian kawasan Taman Tun Fuad Stephens dilanjutkan sehingga 14 Julai 2025 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di bawah Projek Taman Botani Sabah.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penutupan tersebut, yang pada asalnya dijadualkan berakhir lebih awal, perlu diteruskan atas faktor keselamatan awam sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Sepanjang tempoh penutupan, semua aktiviti rekreasi di kawasan yang terjejas tidak dibenarkan.

Justeru, DBKK menggalakkan orang ramai untuk menggunakan ruang hijau alternatif berdekatan seperti Taman Awam Teluk Likas, Taman Ujana Rimba Tropika, Taman Awam Tanjung Aru dan taman-taman awam lain yang dibenarkan di kawasan perumahan.

Walau bagaimanapun, kemudahan lain yang terletak berhampiran kawasan pembinaan seperti Restoran Nelayan, Dewan Putra dan gerai makanan Bukit Padang akan beroperasi seperti biasa.

Menurut Jabatan Aduan dan Perhubungan Awam DBKK, langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen pihak berkuasa dalam memastikan kelestarian pembangunan bandar selaras dengan aspirasi “Sabah Maju Jaya”.

Penduduk dan pengunjung disarankan untuk merancang aktiviti riadah mereka dengan sewajarnya dan mematuhi segala papan tanda serta arahan keselamatan yang dipasang di kawasan berkenaan.