Wanita Cedera Tersepit Dalam Kemalangan Babitkan Persona dan Bas Mini di Jalan...

Wanita Cedera Tersepit Dalam Kemalangan Babitkan Persona dan Bas Mini di Jalan Kepayan

0
SHARE

KOTA KINABALU:Seorang wanita cedera selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Proton Persona dan sebuah bas mini berhampiran jejambat Jalan Kepayan, berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), awal pagi tadi.

Menurut kenyataan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, panggilan kecemasan diterima melalui MERS999 pada jam 7.52 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian, kira-kira 5 kilometer dari balai.

Komander Operasi, Muhamad Shafie Jumiran memaklumkan, kejadian membabitkan dua buah kenderaan, Proton Persona yang dinaiki dua individu dan sebuah bas mini yang dipandu seorang lelaki.

“Terdapat seorang mangsa perempuan berusia 28 tahun tersepit di dalam kenderaan Proton Persona dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala dua lagi mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang turut berada dalam Proton Persona serta pemandu bas mini berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat melibatkan kekuatan seramai 14 anggota dari BBP Kota Kinabalu dengan sokongan satu jentera FRT, satu unit EMRS dan tiga motosikal RIM.

Turut berada di lokasi adalah pasukan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi disahkan terkawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.09 pagi setelah pihak bomba memastikan tiada lagi risiko atau bahaya di lokasi kejadian.