CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) hari ini mengumumkan pengecualian pengenaan duti setem bagi semua kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025.
Langkah itu diambil susulan penemuan hasil audit duti setem yang mendapati banyak kontrak penggajian antara majikan dan pekerja tidak disetemkan seperti yang diwajibkan di bawah Akta Setem 1949, di mana kadar duti ditetapkan pada RM10 bagi setiap kontrak.
Menurut HASiL, keputusan memberi pengecualian ini dibuat oleh Kementerian Kewangan sebagai langkah meringankan beban majikan serta memberi ruang peralihan menjelang pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) bermula 1 Januari 2026.
“Bagi kontrak yang dimuktamadkan sepanjang tahun 2025, duti setem tetap dikenakan namun penalti lewat penyeteman akan dikecualikan sekiranya dokumen disetemkan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025.
“Manakala bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan bermula 1 Januari 2026, duti setem akan dikenakan sepenuhnya dan sebarang kelewatan akan dikenakan penalti seperti yang ditetapkan,” katanya melalui kenyataan.
Semua majikan diseru agar segera menyemak dan mengemas kini dokumen kontrak penggajian bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan penyeteman mengikut undang-undang sedia ada.






