Penjawat Awam dan Pesara Ditahan SPRM Sabah, Disyaki Terima Rasuah RM66,000

Penjawat Awam dan Pesara Ditahan SPRM Sabah, Disyaki Terima Rasuah RM66,000

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam dan seorang pesara sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM66,000.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an hingga 60-an itu ditahan antara jam 10 hingga 11 pagi kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Mereka dipercayai menerima wang sogokan antara RM12,000 hingga RM54,000 daripada beberapa individu sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah dan menjalankan bancian lot tanah di bawah skim tanah milik kerajaan negeri, sekitar tahun 2016.

Difahamkan, kedua-dua suspek tidak mempunyai kelayakan rasmi untuk menjalankan urusan tersebut dan tidak memiliki sebarang lot tanah berkaitan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat.