SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menegaskan bahawa Gagasan Rakyat yang menjadi teras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bertanding sekurang-kurangnya 53 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Menurutnya, rundingan pengagihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) masih berjalan dan belum dimuktamadkan, sambil menekankan bahawa 20 kerusi selebihnya akan ditandingi oleh PH.
“Perkara ini akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS dan PH dalam masa terdekat. Setakat ini masih ada parti komponen GRS yang belum menyerahkan senarai calon,” katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Gum-Gum.
Beliau turut mengingatkan semua peringkat akar umbi agar menghormati keputusan Majlis Presiden sebagai entiti tertinggi dalam GRS.
Masiung menambah bahawa sentimen rakyat kini lebih memihak kepada parti tempatan, namun kerjasama strategik dengan PH tetap penting kerana ia berada di bawah pimpinan Perdana Menteri.
Persidangan itu dihadiri lebih 1,500 perwakilan dan pemerhati di bawah pimpinan Ketua Bahagian Datuk Juslie Ajirol dan Timbalannya, Datuk Jaffari Waliam.






