Lelaki Larikan Cip Kasino Bernilai RM3 Juta di Genting Highlands

Lelaki Larikan Cip Kasino Bernilai RM3 Juta di Genting Highlands

0
SHARE

KUANTAN: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Victor Lee, susulan kes kecurian cip kasino bernilai RM3 juta dari sebuah bilik tertutup di premis kasino di Genting Highlands, Bentong, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, laporan polis telah dibuat oleh pengurus syarikat kasino berkenaan selepas menyedari kehilangan cip berkenaan yang dipercayai dilarikan oleh individu terbabit.

“Hasil siasatan awal mengenal pasti suspek sebagai seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan seeprti dilapor Malaysia Gazette, hari ini.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, iaitu pecah amanah jenayah oleh penjawat awam atau ejen, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Victor Lee untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis terdekat.

Setakat ini, usaha mengesan suspek masih diteruskan oleh pihak polis termasuk melalui bantuan pasukan keselamatan kasino.