KERTEH, TERENGGANU – Pasangan suami isteri diburu polis selepas dipercayai berpakat melarikan tabung derma pusat tahfiz di sebuah stesen minyak di Kerteh, semalam.
Memetik kenyataan Harian Metro, dalam kejadian 2 petang itu, pasangan berkenaan yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dikatakan berpakat melekakan pekerja kaunter stesen minyak terbabit sebelum suspek lelaki bertindak melarikan tabung derma terletak di atas kaunter bedekatan pintu.
Ketua Polis Daerah Superintendan, Mohd Said Ibrahim berkata, tindakan pasangan berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kaunter terbabit.
Menurutnya, berdasarkan CCTV berkenaan didapati suspek lelaki berpura-pura bertanyakan satu barang kepada pekerja wanita di kaunter itu manakala seorang lagi pekerja melayan suspek wanita membuat bayaran.
Katanya, suspek lelaki bertindak mengambil tabung berkenaan sebaik pekerja kaunter leka melayan wanita berkenaan lalu bergegas keluar dari stesen minyak terbabit.
“Kita sedang menyiasat berhubung kerugian itu dan pembabitan suspek dengan kes kecurian tabung derma yang pernah dilaporkan sebelum ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek ini diminta segera menghubungi balai polis berhampiran untuk diambil tindakan lanjut,” katanya.