KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara lantang dan berjiwa besar, Syamel, kembali menggamit perasaan peminat menerusi single terbaharu berjudul Berakhir Kita, sebuah balada menyayat hati ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K, yang turut bertindak sebagai penerbit lagu.
Lagu ini merupakan hasil kerjasama tiga entiti termasuk Universal Music Malaysia, Maison Management dan Global Keynote Sdn. Bhd., dan mengetengahkan tema cinta yang terlerai sebelum sempat berputik sepenuhnya.
Mengangkat kisah cinta tidak kesampaian, Berakhir Kita disifatkan sebagai luahan emosi pilu buat mereka yang pernah merasai pedihnya pengharapan yang tidak menjadi kenyataan.
“Lagu ini menggambarkan peritnya melihat cinta yang diidamkan musnah di depan mata,” jelas Syamel.
Dalam proses rakaman lagu ini, Syamel memuji gandingan bersama komposer Shazriq Azeman dan Omar K, yang menurutnya memberi ruang kreativiti dan sokongan positif.
“Mereka memberikan tenaga yang luar biasa dan membenarkan saya menyampaikan lagu ini dengan gaya tersendiri. Proses rakaman jadi lebih santai dan bermakna,” kata Syamel.
Menariknya, Berakhir Kita turut disertai dengan paparan visual menerusi sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Bagi Syamel, penyatuan lagu dan drama ini akan memberi kesan emosi yang lebih mendalam kepada pendengar.
“Lagu ini sendiri sudah cukup sedih dan menyayat hati. Bila digabungkan dengan babak-babak dramatik, saya percaya impaknya akan lebih kuat dan menyentuh jiwa,” tambahnya.
Syamel turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan lagu ini, menyifatkan kerjasama yang diberi sebagai sangat positif dan penuh dedikasi.
“Lagu ini lahir daripada komitmen dan jiwa semua yang terlibat. Ia bukan sekadar lagu cinta, tapi pengalaman emosi yang jujur dan menyeluruh,” katanya.
Penyanyi itu turut berharap agar Berakhir Kita dapat memberi makna kepada para pendengar, serta menjadi lagu yang menggambarkan perjalanan peribadi setiap insan yang pernah kecewa dalam cinta.
“Saya harap lagu ini akan melekat di hati pendengar dan mereka dapat kaitkan dengan kisah hidup mereka sendiri,” ujar Syamel penuh harapan.
Berakhir Kita kini boleh distrim di semua platform digital bermula sejak kelmarin.






