KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, menggesa agar siasatan terhadap kes kematian Zara Qairina Mahathir, dijalankan secara adil, telus dan menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Fairuz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pintasan dan Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, berkata demikian selepas bertemu Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada Khamis bagi menyatakan solidariti terhadap siasatan yang sedang dijalankan.
“Sebagai seorang ayah, saya boleh bayangkan kesedihan yang dirasai oleh ibu arwah Zara.
“Kita mahu keadilan ditegakkan dan berharap agar semua pihak terus bersatu menyatakan sokongan secara berhemah,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau menegaskan bahawa kes tragik seperti itu tidak wajar didiamkan dan menuntut perhatian serius.
Katanya, pihak berkuasa wajar menjalankan siasatan menyeluruh agar mereka yang bersalah dapat dibawa ke muka pengadilan dengan hukuman setimpal.
Fairuz turut menyeru ibu bapa agar menitikberatkan pendidikan sahsiah anak-anak dari rumah, bagi membendung gejala negatif dan pembentukan peribadi yang berempati sejak awal usia.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial demi mengejar publisiti murahan.
“Bayangkan jika kita berada di tempat keluarga arwah. Gunakan media sosial secara bijak, dan elak menjadi penunggang isu yang hanya menambah beban emosi kepada keluarga mangsa,” katanya.
Fairuz menambah bahawa Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap kes ini dan menyokong usaha agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.






