PAPAR: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar berjaya menyelamatkan seekor penyu yang terdampar dalam keadaan lemah di pantai Kampung Santing, Pengalat Besar, malam tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 7.44 malam sebelum tiba di lokasi sekitar 8.10 malam bersama tiga anggota.
“Penyu berkenaan ditemukan orang awam sebelum pasukan bomba mengangkatnya menggunakan kain dan melepaskannya semula ke habitat asal dengan bantuan penduduk setempat,” kata seorang pegawai jurucakap.
Operasi berjarak kira-kira 20 kilometer dari balai tersebut ditamatkan pada jam 8.45 malam.
Tiada kecederaan dilaporkan dan penyu berkenaan dipercayai berjaya kembali ke laut dengan selamat.






