Pakar Forensik Serdang Bantu Bedah Siasat Jenazah Zara Qairina di HQE 1

Pakar Forensik Serdang Bantu Bedah Siasat Jenazah Zara Qairina di HQE 1

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor, hadir bagi membantu proses bedah siasat semula jenazah pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pagi ini.

Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata pakar tersebut, Dr Khairul Anuar Zainun, akan mengendalikan pemeriksaan bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dengan dibantu dua lagi pegawai perubatan forensik.

Menurut Hamid, proses bedah siasat bermula kira-kira jam 11 pagi selepas selesai pengecaman jenazah oleh ibu Allahyarhamah.

“Proses ini dijalankan secara teliti dan profesional oleh pasukan perubatan berpengalaman. Kami berharap hasil pemeriksaan kali ini dapat menjelaskan punca sebenar kematian dan membuka jalan kepada inkues,” katanya ketika ditemui di perkarangan HQE.

Allahyarhamah Zara, 13, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di parit berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar. Kes tersebut dikaitkan dengan dakwaan insiden buli dan telah mencetuskan perhatian meluas di seluruh negara.

Susulan arahan Jabatan Peguam Negara, proses penggalian semula kubur di Kampung Mesapol, Sipitang telah dijalankan pada petang 9 Ogos, disaksikan pihak berkuasa termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dan Pengarah Jabatan Peguam Negara Sabah.

Bedah siasat semula ini dijangka mengambil masa antara empat hingga lima jam dan akan disusuli dengan pengebumian semula jenazah di kampung halaman pada hari yang sama.