ABIM Sabah Seru Orang Ramai Berhikmah dan Berhemah Menanggapi Kes Kematian Zara...

ABIM Sabah Seru Orang Ramai Berhikmah dan Berhemah Menanggapi Kes Kematian Zara Qairina

0
SHARE

KOTA KINABALU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah menyeru masyarakat agar bersikap berhikmah dan berhemah dalam menanggapi isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina, sambil mengingatkan semua pihak supaya menjauhi fitnah, spekulasi dan tuduhan tidak berasas.

Yang Dipertua ABIM Sabah, Mohd Zikri Zainudin berkata, walaupun rakyat berduka atas pemergian Zara, adalah penting untuk menjaga maruah semua pihak serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan telus.

“Islam mengangkat martabat insan dan menjaga maruah manusia. Oleh itu, fitnah, tuduhan dan dakwaan jahat perlu dijauhi agar tidak mencetuskan perpecahan atau kekecohan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media.

ABIM Sabah menggariskan sembilan saranan, antaranya menapis dan menyemak maklumat dengan merujuk kenyataan rasmi peguam keluarga atau pihak berkuasa, mengawal emosi serta tidak membuat andaian, dan mengelakkan perbuatan mencari atau mendedahkan aib orang lain.

ABIM Sabah juga meminta masyarakat agar tidak menjadikan kes ini sebagai modal untuk kepentingan tertentu dengan menyebarkan kebencian, sebaliknya menyalurkan maklumat sahih dan bersikap rasional.

Selain itu, pihaknya mendesak agar pembulian siber dihentikan serta menyeru Kementerian Komunikasi Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau spekulasi di media sosial yang tidak terkawal.

ABIM Sabah turut menggesa kementerian berkaitan menyediakan sokongan psikologi dan emosi kepada keluarga Zara, guru, ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, di samping mengajak semua pihak untuk terus berdoa agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.