
PUTRAJAYA, SELANGOR – Keputusan untuk menghentikan monopoli dan membuka persaingan dalam memberi perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor telah dibincangkan bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di bawah DRB-HICOM.
Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tidak timbul isu keputusan itu dibuat tanpa melakukan sebarang perbincangan terlebih dahulu dengan penyedia tunggal perkhidmatan terbabit.
“DRB dan PUSPAKOM tahu keputusan ini dam kita sudah bincang bersama mereka. Perihal perbincangan terbabit tidak perlu saya dedah, tapi mereka mengambil maklum keputusan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Anthony turut berkata isu penyedia perkhidmatan tunggal itu dan kenapa tidak ada pilihan lain sudah dibangkitkan orang ramai sejak bertahun-tahun malah turut dibincang di Parlimen.
“Malah pada 2018 ketika kali pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita tubuh satu jawatankuasa untuk menilai semula semua monopoli dalam industri, tetapi ketika itu konsesi (PUSPAKOM) masih berjalan dan hanya berakhir pada 2024.
“Jadi (kini) menghampiri tempoh itu, keputusan perlu dibuat segera sama ada mahu meneruskan konsesi ini atau tidak, saya bawa ke Kabinet dan minta konsesi ini dilanjut (tambahan 15 tahun), tetapi tiada lagi eksklusiviti kepada PUSPAKOM, itu bezanya,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony ketika ditanya pemberita apakah persaingan akan dibuka kepada lebih daripada satu syarikat, beliau menjelaskan perkara itu akan dinilai pihaknya.
“Tetapi kita juga ambil kira bahawa pasaran kenderaan diperiksa ini adalah pasaran terhad, kerana ia hanya meliputi kenderaan perdagangan.
“Jadi kita kena lihat sama ada dia mampan atau tidak apabila kita melantik lebih daripada dua syarikat penyedia perkhidmatan, pada ketika ini perkara itu belum ditetapkan lagi.
“Tapi apa yang kita harapkan, selepas 2024, tidak ada lagi soal monopoli atau eksklusif yang mana sering kali diminta oleh pengguna supaya kerajaan benarkan satu lagi syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya.





