Kerajaan Persekutuan Digesa Percepat Tambahbaik Infrastruktur, Fasiliti Awam Di Sabah

Kerajaan Persekutuan Digesa Percepat Tambahbaik Infrastruktur, Fasiliti Awam Di Sabah

0
SHARE
Bobby
Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A Suan

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A Suan menggesa kerajaan Persekutuan percepatkan penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti di Sabah berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke Wilayah Kalimantan (Nusantara).

Katanya, rakyat Sabah mengharapkan
agar infrastruktur dan fasiliti awam di Sabah juga “on par” dan standing dengan negara jiran itu.

“Sesuai dengan saranan Titah Diraja supaya pihak kerajaan menyediakan peruntukan kewangan untuk infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti.

“Saya menegaskan sekali lagi, bahawa penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti di Sabah hendaklah dipercepatkan berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke wilayah Kalimantan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur, semalam.

Bobbey juga mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk duduk semeja dan menyelesaikan dengan kadar segera masalah kesesakan lalu lintas akibat daripada kekurangan kawasan parkir (kawasan letak kereta) hospital kerajaan utama.

Menurutnya, kapasiti dan kapabiliti kawasan letak kereta sedia ada tidak dapat menampung jumlah pesakit dan orang awam yang berkunjung iaitu dalam lingkungan 1,000 sehingga 21,000 orang sehari.

“Saya mengharapkan permasalahan ini dapat diatasi dengan kadar segera demi kepentingan rakyat”, tegasnya.

Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan sebuah Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah bagi menoktahkan masalah pendatang asing tanpa izin yang menimbulkan pelbagai masalah sosial di Sabah.

“Antaranya seperti masalah peminta sedekah oleh anak-anak pendatang asing tanpa izin yang menganggu laluan lalu lintas di kawasan bandaraya, masalah air yang disebabkan penyambungan paip secara haram sehinggalah pembinaan tanah perkuburan haram di kawasan merbahaya pencawang elektrik.

“Dengan adanya Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah, saya mengharapkan agar masalah ini ditangani segera.

“Ini selaras dengan Titah Diraja berkenaan isu-isu pendatang asing tanpa izin dan pelarian, termasuk pemohon suaka yang patut segera ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan demi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman supaya Malaysia kekal aman, sejahtera dan berdaulat”, tambahnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada kerajaan negeri Sabah dengan mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik.