BERSATU, PAS Sepakat Guna Logo PN Di PRN Johor

BERSATU, PAS Sepakat Guna Logo PN Di PRN Johor

0
SHARE

SHAH ALAM, SELANGOR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menyaksikan kerjasama antara PAS dan BERSATU di mana kedua-dua parti itu bersepakat untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan.

“Hasil resolusi muzakarah yang diadakan, kita akan menyertai PRN Johor sebagai PN…

“Kita juga akan memperkukuhkan jalinan kerjasama PAS dan BERSATU sebagai satu pasukan sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media di sini, semalam yang mana Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut hadir.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada pilihan raya berkenaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin…

Bagaimanapun beliau berkata, soal calon bakal bertanding akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.

“Kita akan putuskan… insya-Allah akan bincang perkara itu kerana yang penting hasrat kita bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, bangsa Johor untuk bentuk kerajaan PN di peringkat negeri…

“Dari segi calon, kita akan mengambil contoh di (PRN) Melaka yang menyaksikan gabungan orang berpengalaman dan anak muda kerana di Johor ramai tokoh berkelayakan,” katanya.

Katanya, memandangkan Johor sebuah negeri yang besar, PN akan menyusun semula strategi dengan mengambil kira keputusan PRN Melaka baru-baru ini.

“Kita mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda menerusi penjenamaan serta mesej jelas yang diterima rakyat,” katanya.

Sementara itu, BH melaporkan bahawa Abdul Hadi ketika ditanya mengenai Muafakat Nasional (MN) di Johor, beliau sekadar tersenyum dan meminta soalan terbabit ditanyakan kepada UMNO.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu.

Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuatkuasa 22 Jan baru-baru ini, bagi memberi laluan kepada PRN diadakan…(Sumber Foto: Fb DYMM Sultan Johor)

Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh penting seperti hari penamaan awal, mengundi awal dan mengundi biasa.

Mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh itu antara lain membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan.