Kes Zara: Iktiraf Usaha Netizen Guna Media Sosial Cari Kebenaran, Tapi Diingatkan...

Kes Zara: Iktiraf Usaha Netizen Guna Media Sosial Cari Kebenaran, Tapi Diingatkan Jangan Terjebak Spekulasi

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi mengiktiraf peranan netizen yang menggunakan media sosial untuk mencari kejelasan dan menuntut keadilan dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Namun juga mengingatkan supaya orang ramai atau netizen untuk tidak terjebak dengan spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Beliau berkata, netizen yang benar-benar menggunakan media sosial untuk mencari kebenaran wajar dihormati, tetapi pihak yang menunggang isu ini demi populariti tidak sepatutnya mengambil kesempatan.

“Kita harus memberikan sokongan emosi kepada keluarga dan tidak menjadikan ini sebagai platform politik untuk menunjukkan kita relevan.

“Apa yang kita mahu adalah kebenaran. Tetapi pada akhirnya, jangan berspekulasi kerana kebanyakan maklumat yang kita terima datang daripada media sosial yang belum disahkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil, Doa Kesejahteraan dan Solat Sunat Hajat bagi Allahyarhamah di Masjid Al Munir, Kampung Darau, semalam.

Razali yang juga seorang peguam turut menegaskan bahawa inkuiri (inkues) adalah proses penting bagi mendedahkan fakta sebenar kes tersebut.

“Apabila ada inkues, semuanya akan terdedah. Kita harap inkues ini akan memberikan jawapan dan kebenaran yang sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai peranan pentadbiran sekolah, beliau berkata, sistem sedia ada perlu dinilai semula.

“Jika sistem itu longgar, ia perlu diperketatkan. Kita perlu memandang isu ini dengan serius, tetapi jangan dipolitikkan sehingga ada yang mahu menjadi hero. Lihatlah daripada sudut yang lebih luas,” tambahnya.

Tegasnya lagi, beliau tidak mahu membuat tuduhan tanpa bukti kukuh.

“Kita berpegang pada bukti, bukan andaian. Setakat ini, elemen buli yang diperkatakan hanyalah berdasarkan cerita di media sosial, dan ia belum disahkan,” ujarnya.

Dalam majlis sama Razali terus mengenang pemergian pelajar tingkatan satu itu dalam ingatan penuh kasih.

“Dalam ingatan penuh kasih dan sayang buat Zara, dengan harapan untuk kejelasan dan kedamaian. Adik Zara akan sentiasa dalam ingatan doa kami,” ujarnya.