Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah Lancar Kempen ‘Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami...

Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah Lancar Kempen ‘Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli’

0
SHARE

BEAUFORT: Pertubuhan Masyarakat Berpadu Sabah pada Ahad telah melancarkan Kempen Kesedaran Buli bertemakan “Noktahkan Buli, Mulakan Empati – Kami Hero Anti Buli”, sebagai kesinambungan usaha menuntut keadilan bagi arwah Zara Qairina Mahathir yang menjadi mangsa buli baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan, Mohammad Norizhuan Awang berkata, kempen itu bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya buli dan mengajak semua pihak untuk menanam nilai empati dalam kehidupan seharian.

“Buli bukanlah isu kecil, tetapi satu jenayah sosial yang mampu meranapkan masa depan mangsa dan meninggalkan trauma mendalam kepada keluarga serta masyarakat. Melalui kempen ini, kami menyeru masyarakat agar berani bersuara, menolak buli, dan bersama membina budaya empati serta hormat-menghormati,” katanya.

Program pelancaran dimulakan dengan aktiviti walkabout di sekitar Pekan Beaufort, melibatkan sukarelawan yang mengedarkan risalah anti buli, penerangan kempen, dan “button badge” kepada orang ramai, khususnya golongan remaja dan belia. Inisiatif itu dijadikan simbol sokongan terhadap usaha membanteras budaya buli.

Kempen ini dijangka turut digerakkan melalui pelbagai pendekatan berasaskan pendidikan dan kesedaran, termasuk pertandingan pidato, ceramah di sekolah-sekolah, serta penghasilan bahan kreatif seperti video pendek, animasi dan poster yang akan disebarkan melalui media sosial dan saluran komunikasi lain.

Menurut Mohammad Norizhuan, usaha membanteras buli tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada ibu bapa, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

“Dengan semangat solidariti, marilah kita bersama-sama menjadi Hero Anti Buli demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berperikemanusiaan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Kempen ini juga merupakan kesinambungan daripada program Solidariti Aman Beaufort yang dianjurkan pertubuhan tersebut pada 16 Ogos lalu sebagai tanda sokongan menuntut keadilan buat arwah Zara dan titik mula gerakan menoktahkan budaya buli di Sabah.