PENAMPANG: Seorang wanita warga asing berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti persundalan di sebuah hotel di Jalan Bundusan, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang kira-kira jam 10.30 malam hasil risikan dan maklumat orang awam.
“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan melalui platform atas talian untuk mendapatkan pelanggan.
“Polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kondom serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Supt. Sammy menegaskan polis komited membanteras aktiviti tidak bermoral dan menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.






