Alor Setar: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang anggota polis berpangkat koperal pada 7 Ogos lalu.
Tertuduh, Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34; masing-masing yang bekerja sendiri, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mereka yang berasal dari Johor.
Memetik laporan Kosmo, keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama membunuh Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini pada pukul 3.43 petang, 7 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun, selain 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan mereka ditahan di Penjara Alor Setar sementara menunggu sebutan semula kes pada 23 November ini.
Suasana di pekarangan mahkamah turut diselubungi dengan kehadiran ahli keluarga tertuduh yang sempat menyatakan hasrat untuk melantik peguam bagi membela mereka.
Pada 7 Ogos lalu, media melaporkan Koperal Mohd Hafizul maut dipercayai dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan jenis Lexus yang dinaiki empat penjenayah ketika melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Golf.
Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang.






