KOTA KINABALU: Dewan Ulama PAS Negeri Sabah (DUPNS) menegaskan tuduhan yang mengaitkan Mufti Sabah dan Timbalan Mufti dengan proses penggalian semula jenazah Zara Qairina sebagai fitnah sekiranya tidak disertakan bukti sahih daripada pihak berautoriti.
Ketua Penerangan DUPNS, Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi, berkata penyebaran dakwaan tidak berasas itu berpotensi mencetuskan kekeliruan, salah faham dan perpecahan dalam masyarakat.
“Islam menekankan prinsip tabayyun atau pengesahan maklumat. Tuduhan tanpa bukti hanya akan menambah luka dan membuka ruang kepada perpecahan umat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, DUPNS menghormati hak rakyat untuk menuntut keadilan dan bersuara, namun kebebasan itu mesti dilakukan secara berhemah serta berlandaskan fakta.
“DUPNS menyeru umat Islam agar menjaga adab dalam menyampaikan maklumat, menghentikan penyebaran berita tidak sahih serta mengutamakan perpaduan.
“Pihak berkuasa juga digesa menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan fitnah demi menjaga kehormatan institusi agama dan keamanan negeri,” katanya.






