UMS Kukuh Agenda Pengantarabangsaan Dengan Turkiye

UMS Kukuh Agenda Pengantarabangsaan Dengan Turkiye

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) menerima kunjungan Profesor Dr. Omer Kurtbag dari Universiti Erciyes, Kayseri, Turkiye pada 25 hingga 29 Ogos lalu.

Dekan FSSK, Profesor Dr. Asmady Idris berkata, lawatan itu memberi ruang untuk menilai struktur kursus, tenaga pengajar, program prasiswazah dan pascasiswazah, serta kemudahan akademik yang disediakan bagi memastikan kualiti program setanding piawaian antarabangsa.

“Lawatan Profesor Omer turut membuka peluang kerjasama akademik serta pertukaran pelajar dan pensyarah, sekali gus memperkukuh agenda pengantarabangsaan UMS. Pandangan serta saranan beliau amat berharga dalam usaha fakulti meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa kunjungan hormat ke atas Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, kedua-dua pihak membincangkan usaha menaik taraf Surat Hasrat (LoI) yang sedia ada kepada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Universiti Erciyes.

Sesi itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Malaysia–Turkiye Relations: Sabah Chapter yang dianggap sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara kedua-dua negara.

Dalam program tersebut, Profesor Omer turut bertemu dengan dua pelajar Tahun Dua Program Hubungan Antarabangsa UMS yang menerima biasiswa Türkiye Scholarships (TIES) untuk mengikuti program pertukaran akademik jangka pendek di Turkiye.

Beliau juga menyampaikan syarahan bertajuk “The Evolution of Turkish Foreign Policy in the Middle East and Asia: Recalibrating Strategic Depth” yang mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan pensyarah, selain memberikan perspektif baharu mengenai pendekatan strategik Turkiye dalam politik global.

Dalam ucapan penutupnya, Profesor Omer menegaskan bahawa graduan Hubungan Antarabangsa UMS mempunyai kebolehpasaran tinggi dengan sebahagian besar berjaya menempatkan diri dalam sektor awam dan swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini.